Tuesday, September 16, 2008

Fasa kedua Ramadhan;Sejauhmana kita beribadah

Alhamdulillah, dengan izinNya jua kita dapat melangkah ke hari ke 16 bulan Ramadhan. Rasanya begitu pantas masa berlalu , bagaikan tidak disedari. Alhamdulillah dalam bulan ini, saya sempat menyampaikan tazkirah ramadhan dibeberapa buah surau dan madrasah . Entah mengapa , bukan tiada idea.Saya hanya menggunakan beberapa ayat dari suraf As-saf bermula pada ayat ; Wahai orang-orang yang beriman tahukah kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih .... sehingga akhir ayat surah.

Mengapa saya fokuskan kepada ayat tersebut? Diantara perkara penting yang dinyatakan Allah swt ialah tawaran kepada hamba-hambaNya yang ingin berjihad menegakkan deen Allah dengan harta dan nyawa.Maka salah satu kesempatan yang amat sesuai umat Islam lakukan pada bulan Ramadhan ini ialah menginfakkan sebahagian harta kita pada jalan fisabilillah .Sesungguhnya , pada hari dan detik ini masih ramai masyarakat Islam dan organisasi dakwah memerlukan dana sama ada bagi menggerakkan aktiviti dakwah, kebajikan , pendidikan dan pembiayaan kehidupan anak-anak yatim.

Kita tidak sepatutnya terikat dengan pemberian zakat harta dan zakat fitrah sahaja.Umat Islam sepatutnya sentiasa menjadi golongan yang suka MEMBERI bukan sebagai penerima .Nabi SAW pernah menyatakan bahawa tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima .Maka dalam bulan yang mulia dan berkat ini ,ayuh sama -sama berusaha menginfakkan wang ringgit dan harta kita kepada jalan-jalan Allah .

Disini sukalah , saya menyarankan agar kita boleh membantu pihak berikut ,khususnya institusi kebajikan dan dakwah yang terdekat dengan anda.

1- Sekolah-sekolah agama persendirian atau organisasi pendidikan tempatan
2-Surau-surau kampung dan sekolah.
3-Taman Didikan Islam
4-Badan-badan dakwah
5-Warga emas yang tiada waris / waris juga hidup dalam keadaan susah
6-Ibu-ibu (Armalah ) yang mempunyai anak yang ramai
7-Golongan yang fakir dan miskin

Pendek kata , disekeliling kita masih ramai insan -insan yang memerlukan bantuan harta dan sokongan moral .Di celah-celah kesibukan kita bersama anak-anak dan isteri memikirkan persediaan hari lebaran ... ingtlah ada insan lain yang berbuka puasa ala kadar sahaja.

Oleh itu , saya mengajak diri sendiri dan sahabat-sahabat mengambil peluang bukan sahaja melakukan ibadat khusus seperti solat dan puasa sahaja.Bahkan jadikan INFAK pada jalan Allah jua suatu ibadah dan saham AKHIRAT kita

Insya Allah bersambung....

Wednesday, September 10, 2008

Ramadhan: Bulan latihan melakukan amalan-amalan sunat

Biasakan membawa anak-anak ke masjid atau surau agar
hati-hati mereka dekat dengan majlis ilmu dan kenal 'rumah Allah'
Masjid adalah tempat terbaik kita mencari ketenangan

Alhamdulillah , sekali lagi kita panjatkan rasa syukur kepada Allah diatas limpah kurniaNya kita masih bernafas dan menghirup udara Allah serta mampu menghambakan diri kepadaNya.Malam sabtu dan malam Ahad lepas ,ana berpeluang menyampaikan tazkirah di Cheras dan Batu Kikir , Kuala Pilah.

Dalam kesempatan ini, ana merakamkan tahniah kepada penghuni di Taman Alam Damai, Cheras dan Taman Melati Indah , Batu Kikir ,NSDK kerana mereka berusaha mendapatkan tempat untuk dijadikan surau sementara untuk solat jamaah .Tahniah juga kepada mereka kerana menjadikan tazkirah selepas solat terawih sebahagian dari amalan mulia pada bulan rahmat ini.

Apa yang ingin ana kongsi bersama sahabat-2 ziarah ialah ; kita melihat dalam bulan Ramadhan ini ramai orang yang seronok, berlumba-lumba hadir ke masjid , surau atau madrasah untuk melakukan amalan sunat dengan solat terawih dan witirnya.Namun apa yang malang'' budaya berjamaah ini"hanya wujud pada bulan ini sahaja.Apabila habis Ramadhan( masuk sahaja 1 Syawal) kita akan dapati masjid lengang semula, yang hadir untuk berjamaah hanya warga emas - yang mungkin sebahagiannya tak tahu kemana lagi hendak pergi.Bukan semualah!

Dalam bulan ini juga kita akan dapati , kehadiran jamaah pada masa solat subuh agak ramai berbanding dengan biasa .Kalau hari-hari biasa selain Ramadhan mungkin sesetengah masjid dan surau ahli jamaahnya boleh dihitung dengan jari , tapi bulan Ramadhan boleh jadi 2 atau tiga saf.



Boleh dikatakan setiap tahun perkara atau ' budaya ' yang sama berlaku.Sudah bertahun-tahun kita menjalani ibadat pada bulan Ramadhan. Tidakkah kita mahu berubah atau berpuashati ditakuk yang sama? Oleh itu ana ingin mengajak kita semua agar mengamalkan amalan2 -sunat dan berjamaah ini bukan sahaja pada bulan Ramadhan.Kita sepatutnya berusaha melaksanakan ibadah sunat pada 11 bulan yang lain sebagai bukti bahawa kesan ibadah Ramadhan melimpah sepanjang tahun.Sebagai contoh solat sunat witir, khatam Al-Quran, berjamaah di masjid dan surau, beriktikaf dan bersedekah itu adalah amalan umat Islam yang bukan hanya berlaku bermusim. Solat witir dalam masyarakat kita tidak menjadi amalan yang biasa bahkan mungkin ramai yang meninggalkannya dan bertemu kembali sebelas bulan akan datang.

Demikian juga ada sebahagian umat Islam tak nampak batang hidungnya di masjid/surau pada bulan-bulan yang lain.Bila ada kematian ahli keluarga barulah cari imam dan 'orang masjid' untuk tahlil dan sebagainya.Barulah rasa perlunya masyarakat bantu mereka.Hal ini berlaku kerana sama ada jahil atau merasa selesa dengan kehidupan bersama kelurga tanpa memerlukan orang lain.Tubuh dah penat balik dari kerja seharian , ambil mudah tak perlulah berjamaah .Solat kat rumah pun sah! Buat apa penat-penat ke masjid apatah lagi harga minyak bukan macam dulu lagi.Lebih-lebih lagilah kalau nak pergi solat subuh kat masjid/surau.

Bagi yang malas ana tak nak kata apa. Tepuk dada tanya iman! Namun bagi yang kurang tahu ketahuilah bahawa amanlan kita , kalau mengharapkan yang wajib( yang kita buat, banyak manalah? Itupun solat dan ibadah-ibadah lain yang wajib itu belum dinilai pada keikhlasan dan kepatuhan kita yang sebenar.

Oleh itu marilah kita sama -sama meningkatkan amalan sunat , bukan setakat buat yang fardu sahaja .Lagipun dalam yang fardu itu banyak lompangnya.Bak kata seorang pendakwah tanah air ;Buat yang fardu itu adalah modal , buat yang sunat itu adalah untungnya.Rajin-rajinlah lakukan amalan yang sunat dan yang fardu itu pastinya dilakukan dengan penuh ketaatan.


Demikian juga harapnya khusus buat saya sendiri, iltizamlah solat fardu berjamaah lebih-lebih lagi solat subuh.Pastikan kita ( golongan lelaki) solat subuh di masjid/ surau lebih-lebih lagi sesiapa yang mengaku dia seorang daie atau ahli organisasi dakwah.Jangan kita berucap bukan main berapi tapi kita kalah dikala subuh hari .Lawanlah nafsu bertitik tolak dari Ramadhan ini, JADIKAN RAMADHAN PELUANG TARBIAH DIRI , ISTIQAMAH MELAKUKAN AMALAN SUNAT AGAR USIA KEHIDUPAN TIDAK RUGI.Salam ukhuwah buat sahabat-sahabat , mohon maaf andai ada bicara tersilap kata.

Akhirnya , renungilah hadis Rasulullah SAW tentang kelebihan solat berjamaah. Dari Abdullah bin Umar R.A , bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Sembahyang berjamaah lebih utama 27 darjat daripada solat bersendirian "( Muttafaqun 'alaih )

Tuesday, September 2, 2008

Ramadhan...mengingatkanku memori di Urdun dan SMKA Miri

huzaifah...bersama pelajar SM Sains Tuanku Jaafar pada malam merdeka

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini masuk hari kedua Ramadhan.Entah mengapa sejak sehari dua ini teringatkan kenangan-2 lepas.Pertama mungkin , mengingatkan ana sahabat2 yang membantu kami semasa majlis walimah yang diadakan di mafraq pada 1 dan 2 September 1999.Pada 1 September kami diakad nikahkan dan keesokankannya majlis kesyukuran .

Individu yang paling ana dan zaujah hargai tentunya us.Hasnol kerana beliau dan zaujahnya yang mempertemukan kami sehingga mendirikan istana kasih.Buat sahabat-sahabat di Mafraq dahulu yang juga sentiasa dalam ingatan ana; Akeem dan Wan Azlan yang menjadi saksi semasa kami diijab kabulkan.Terima kasih juga buah ikhwah dan akhawat yang bertungkus lumus menyediakan kelengkapan dan keperluan walimah.Ustaz Hazman Hasyim, Us.Khairul Anwar dan semuanya tentu sekali sentiasa dalam memori kami kerana telah mengatur majlis forum, tazkirah dan jamuan.Buat Ust Uda Kassim, Ust Khairuddin Aman Razali yang banyak memberi pandangan dan nasihat ; maklumanlah kami berkahwin semasa masih belajar.Penghargaan juga buat us.Muzaha, Us.Adi dan yang lain-lain yang menjadi tempat ana mohon isthiyarah dan sahabat-sahabat ex- penghuni Bait Kanopi dan jirannya atas khidmat ikhwah semua. Jazakumullahu kahira khatira.

Dalam ruang ini, tentunya ana tidak mampu menyebut semua nama-nama kalian, namun ikhwah dan akhawat sebagai sahabat telah banyak meninggalkan zikrayat yang bukan sedikit dalam mematang dan membina peribadi sahsiah diri dalam kehidupan fana ini.



**********
Sudah lebih 8 purnama ana dan keluarga meninggalkan Miri, tempat ana dan zaujah mula berkhidmat dalam dunia pendidikan .Wajah-wajah sahabat dan anak-anak didik sentiasa dalam ingatan. Enam tahun kami di Miri ...tentunya banyak memori yang terlekat disanubari. Ramadhan tentu sekali mengingatkan ana bersama pelajar SMKAM berterawih dan bertadarus.Penghujung Ramadhan , setiap tahun pihak sekolah akan mengadakan khatam Al-Quran. Majlis berbuka puasa sama ada dirumah sahabat-sahabat mahupun di SMKAM tentu menjadi kenangan abadi.Selamat berpuasa dan beribadah kepada guru-guru di SMKA Miri, para staf sokongan, sahabat-sahabat, anak-anak didik ustaz di UM,UKM,UPM ,matrikulasi Labuan, UiTM dan IPT seluruh Malaysia. Bersama memanfaatkan madrasah ramadhan, moga kita menjadi graduan yang cemerlang.




Sunday, August 31, 2008

Ulang tahun perkahwinan ke 9

Huzaifah bersama rakan-rakan pada hari sukan


Segala puji hanya selayaknya kepada Allah Azzawajalla.Kami suami isteri bersyukur , pada hari esok genaplah sembilan tahun ana dan zaujah( Ummu Huzaifah) mengharungi kehidupan sebagai pasangan usrah saiedah. Dengan kurnia rezeki daripadaNya kami memiliki 4 orang zuriat , 3 puteri dan seorang putera.

Sehingga detik ini, alhamdulillah , anak-anak kami tidak banyak kerenah, kenakalan dan sebagainya.Teringat ana semasa anak sulong kami dibawa kesebuah klinik di Mafraq, Jordan (kerana terkena kuning)Dr.Ayub yang merawatnya berkata sambil bergurau; anak-anak orang Malaysia memang jenis tak riuh.

Apa yang penting bagi diri ana sendiri ,anak-anak kita/ zuriat kita perlu ditarbiah seawal mereka dalam kandungan lagi.Para isteri dan suami perlu mendidik hati-hati mereka , mengawal emosi dan menjaga ibadah seharian agar zuriat yang ada dalam kandungan menghadapi hari-hari dalam kandungan dengan tenang dan baik.

Setiap kita sewajarnya perlu prihatin bahawa akhlak ibu bapa sama ada semasa dalam kandungan mahupun selepas mereka dilahirkan amat mempengaruhi kehidupan mereka terutama semasa anak-anak dibawah jagaan kita.

Ingatlah anak-anak adalah eset kita paling penting semasa di dunia dan di akhirat nanti.Tatapilah ayat-ayat terakhir surah At-Taghabun dari ayat 14-18 , moga-moga kita sedar dan insaf.FirmanNya yang bermaksud : " Wahai orang -orang yang beriman ! Sesungguhnya ada diantara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu .Oleh itu berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Sekiranya kamu memaafkan dan tidak memarahi mereka serta memaafkan kesalahan mereka ( maka Allah akan berbuat demikian terhadap kamu), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(14)

Sesungguhnya harta dan anak-anak kamu itu hanya ujian.Disisi Allah jualah pahala yang besar.(15)

Sebagai contoh yang boleh ana sebutkan disini , terdapat para suami yang jarang ke masjid atau surau sama ada untuk solat berjamaah atau menghadiri majlis ilmu dengan alasan susah dengan anak kecil ( mana ada orang beranak- anak-anak terus jadi besar ???).Demikian juga untuk hadir ke usrah , seminar , program-program ilmu dll, atau jemputan kenduri.

Kita akan dengar biasanya akan beri alasan susah nak tinggalkan anak-anak di rumah.Betulkah susah? Adakah rezeki ( anak-anak menyusahkan kita ) ,atau kita sendiri yang mencipta alasan.Tergamakkah kita apabila berdepan dengan Allah Taala di akhirat ,alasan golongan suami tidak berjamaah di masjid / surau dengan alasan-alasan demikian.?

Apa yang lebih malang lagi ,di rumahpun tak ramai suami isteri dan anak-anak tidak solat berjamaah.Suami solat di ruang tamu, isteri solat dibilik, anak-anak pula mungkin masih tidur .Mengapa para suami susah sangat nak solat berjamaah bersama orang-orang dibawah pimpinannya? Hal ini terutama berlaku kepada suami isteri yang mempunyai anak yang masih berusia 1-7 tahun.

Pada ana yang daif ini , sesungguhnya anak-anak yang kecil janganlah dijadikan alasan.Sebab anak-anak kita mengharapkan bimbingan dan pimpinan para yah dan ibu . Kerap kali ana pergi ke kuliah/ ceramah ana bawa anak-anak bersama .Hatta pernah satu ketika ( tahun 2000)kami bawa Aisyah Humaira- anak sulong ke majlis solat hajat yang diadakan di padang pada waktu malam.

Para suami dan isteri sebenarnya boleh mendidik anak dengan mengajak mereka sembahyang bersama dan beritahu mereka semasa sembahyang kita tidak boleh melakukan perkara lain .Allah murka kalau kita main-main... Kalau setiap kali nak solat kita ingatkan anak-anak , insya Allah mereka akan ingat.

Demikian juga bila dibawa ke masjid, semasa dalam perjalanan lagi kita dah beritahu...abang dan kakak bila berada dalam masjid jangan buat bising , nanti Allah marah..kalau setiap kali kemasjid dan surau kita pesan, lama-lama mereka akan ingat pesanan tersebut dan faham.Memang bukan mudah...jadi kita beri amaranlah sedikit, contohnya kalau adik bising abi tak beli baju raya. Insya Allah dengan peringatan , amaran dsg kita boleh bentuk perangai dan sikap zuriat kita sendiri.

Anak-anak kita juga perlu diajar bagaimana perangai/ akhlak mereka bila bertamu ke rumah orang.Ajarkan kepada anak-anak kita seri salam dahulu, hormat tuan rumah dan orang-orang dewasa, jangan mengambil itu dan ini..pendek kata anak-anak perlu dididik ditarbiyah dari peringkat seawal usia agar anak-anak kita memang menjadi zuriat yang menyejukan mata memandang.Sama-samalah kita didik generasi yang akan mewarisi keturunan kita sendiri.Wallahu a'lam bissawab.

Diziarahi mak saudara zaujati


Alhamdulillah, syukur kepadaNya kita masih diberi kesempatan untuk mengharungi akhir Syaaban dan bakal menerima tetamu istimewa Ramadhan.Pagi tadi ana sampaikan kuliah Subuh dengan membicarakan penafsiran surah Al-Nasr .Selepas kuliah , ana menjemput ahli jemaah madrasah sarapan pagi di rumah.

Hari ini juga, lebih kurang pukul 11.20 pagi , ana dan zaujah menerima tetamu; mak ngah dan abg awie ( sepupu zaujah) dari Batu Kikir. Tanpa disangka mereka datang bertamu.Mak ngah mek ini , satu-satunya mak saudara zaujah ana yang masih ada.Alhamdulillah , walaupun umurnya sudah lanjut masih sudi ziarah kami.Didalam ruangan kali ini , ana sertakan gambar-gambar terbaru

Tuesday, August 26, 2008

bersama keluarga

Bersama pak su ,abg Me dan abe Nor selepas selesai solat hajat pada minggu lepas.Abu Huzaifah membelakangi kamera.
Bondaku, cik ngah dan bondanya menjamu selera di dapur

salam iftitah

Bismillah, walhamdulillah .Setinggi kesyukuran kupanjatkan kepada Rabbul Jalil , dengan izinNya jua, ana memulakan laman bicara buat sahabat ini pada hari ini. Sudah lama ana berhajat untuk memiliki blog sendiri ,namun dgn kesibukan tugas-tugas harian dan sebagainya hajat itu terpendam dihati hingga detik ini .

Terima kasih kpd para sahabat dimana jua berada yang mendorong ana melibatkan diri dalam dunia siber khasnya untuk sama-sama berinteraksi dengan ana.Dalam kesempatan yang sedikit ini ana menghulurkan salam ukhuwwah fillah kepada semua sahabat yang pernah mengharungi kehidupan sama ada semasa di Maahad Muhammadi Lelaki, di bumi Syam -Urdun , di MPI Bangi , bumi Kenyalang dan UKM Bangi .

Moga ukhuwah kita berpanjangan.Salam iftitah